BIMBINGAN DAN MOTIVASI
Myspace Layouts

Rabu, 8 Disember 2010

PENGURUSAN MASA

Pengenalan

Pengurusan masa bermaksud anda mampu menguruskan masa secara berkesan bagi melakukan aktiviti harian dan merasa puas hati dengan apa yang telah anda lakukan. Pengurusan masa yang berkesan merupakan ciri penting di dalam gaya hidup yang sihat. Menguruskan masa melibatkan penggunaan peralatan dan kaedah atau teknik untuk merancang dan menjadualkan masa dengan sesuai dan tepat. Peralatan dan teknik tersebut bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan masa anda. Pengurusan masa amat penting bagi membantu remaja mengurus dan mengendalikan masa dengan bijak dan bertanggungjawab.

Kepentingan pengurusan masa
Apabila anda gagal untuk menguruskan masa dengan bijak, anda mungkin:

  • Membazir banyak masa yang berfaedah
  • Menjadi tidak produktif
  • Mendapat stres
  • Menjadi cemas dan bimbang
  • Bertambah gusar dan mudah marah

Dan yang paling utama, anda:

  • Gagal menyiapkan apa-apa tugasan pada masa yang ditetapkan

Panduan
Panduan pengurusan masa bagi remaja
Buat jadual harian. Catatkan:

  • Pukul berapa biasanya anda bangun tidur?
  • Berapa lama anda bersiap untuk ke sekolah?
  • Pukul berapa anda pergi ke sekolah?
  • Pukul berapa anda pulang ke rumah dari sekolah?
  • Berapa lama masa diambil untuk menyiapkan kerja sekolah dan kerja rumah?

Daripada jadual di atas, anda boleh menentukan berapa banyak masa lapang yang anda ada dan menyusun jadual masa supaya semua aktiviti dapat disempurnakan pada hari yang sama.

Buat senarai mengenai perkara yang ingin anda lakukan.
Apabila anda hanya duduk menonton TV beberapa jam atau tidak melakukan apa-apa dan menjadi bosan, gunakan senarai yang ada untuk mengubah masa lapang anda dengan melakukan aktiviti yang lebih produktif.

Tetapkan matlamat tentang apa yang ingin anda capai.
Matlamat anda sasarkan mestilah khusus. Sebagai contoh: 'Saya ingin memperoleh wang' bukanlah satu matlamat; sebaliknya 'Saya ingin mendapatkan RM50.00 untuk membeli sepasang kasut'; merupakan satu matlamat. Hanya matlamat yang khusus mudah dicapai dan dilaksanakan.

Bahagi-bahagikan aktiviti harian anda mengikut kategori.
Tetapkan keutamaan apabila anda membahagikan aktiviti mengikut kategori. Contohnya: 'Menyiapkan kerja sekolah adalah keutamaan, Melakukan senaman adalah keutamaan, Bersiar-siar di pusat membeli belah bukan keutamaan'. Tetapkan aktiviti anda berdasarkan keutamaan.

Tetapkan had masa.
Jika anda perlu menyiapkan kerja rumah, tetapkan had masa.Pastikan anda menyiapkan kerja tersebut dalam had masa yang ditetapkan.

Gunakan diari.
Diari atau jadual waktu dapat membantu anda melakukan tugasan dan mencapai matlamat yang ditetapkan.
Ia juga turut membantu anda untuk merancang aktiviti harian berdasarkan apa yang mesti dibereskan. Secara langsung, ia membantu anda untuk menggunakan masa yang terluang untuk menyiapkan tugasan atau aktiviti yang ingin dilakukan.

Kekalkan rutin harian anda sebaik mungkin.
Mengetahui apa yang perlu dibuat dan bila ia perlu diselesaikan membolehkan anda mencapai apa yang telah disasarkan dengan lebih baik.

Simpan tugasan atau kerja sekolah di satu tempat.
Anda hanya akan membazir masa jika perlu menyusun semula tugasan yang ingin dibereskan. Pembaziran ini dapat dikurangkan jika anda boleh menyimpan semua tugasan di satu tempat agar ia boleh dibereskan dengan cepat dan mengurangkan stres.

Jangan melengah-lengahkan kerja anda.
Berlengah itu pencuri masa. Anda hanya membazir masa jika melengah-lengahkan kerja.

Siapkan tugasan dengan betul semasa kali pertama ia dilakukan.
Anda hanya membuang masa bila tugasan tersebut perlu dibuat semula.

Hasil
Anda menjadi:

  • Lebih terurus
  • Produktif
  • Kurang tertekan
  • Gembira
  • Mempunyai banyak masa untuk melakukan aktiviti yang lebih bermakna
* Sumber:Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia