BIMBINGAN DAN MOTIVASI
Myspace Layouts

Isnin, 19 September 2011

Persediaan Sebelum Peperiksaan


Peperiksaan hampir tiba.  Macam-macam akan difikirkan.  Adakah saya telah habiskan salibus?  Adakah faham semuanya dan sebagainya.  Pelajar cemerlang semestinya telah bersedia lebih awal untuk menghadapi peperiksaan. Mereka telah bersedia dari beberapa segi. Persediaan yang dimaksudkan ialah,

1. Persediaan Emosi
Sila pastikan emosi anda berada dalam keadaan stabil. Kawalan emosi merupakan satu faktor yang akan membantu anda untuk berjaya. Antara persediaan emosi yang perlu di jaga ialah,
a. Elakkan perselisihan faham dengan rakan - perselisihan faham dengan rakan sedikit sebanyak boleh mengganggu emosi anda. Cuba anda selesaikan semua sengketa yang berlaku antara kawan sebelum hari peperiksaan. Persengketaan berterusan akan menjadikan emosi anda tidak stabil. Ia akan mengganggu konsentrasi belajar anda. Contoh, rakan merajuk tentang sesuatu dengan anda dan enggan bercakap dengan anda. Cuba cari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah berkenaan agar tidak terus berpanjangan.
b. Menjaga hati ibu bapa - Restu daripada ibu bapa amat penting. Doa ibu bapa terhadap anak akan membawa ke syurga. Doa ibu bapa amat mustajab. Doa mereka akan mempengaruhi kejayaan anda. Lihat dan perhatikan cerita Si Tanggang. Si Tanggang derhaka telah disumpah menjadi batu disebabkan doa ibu. Pepatah juga menyebut, “ Syurga terletak di bawah telapak kaki ibu.” Ibu telah melahirkan, mendidik dan menjaga anda hingga dewasa. Segala nasihat dan teguran daripada ibu bapa perlu diikuti. Jangan selalu melawan cakap ibu bapa. Mereka lebih mengetahui daripada anda kerana mereka telah “merasa garam terlebih dahulu.”
c. Mendapat restu guru – restu guru juga amat penting. Guru memainkan peranan penting dalam pembelajaran anda. Setiap hari anda ke sekolsh bertemu guru. Guru seperti ibu bapa kedua anda. Tanpa guru, anda tidak memperoleh ilmu. Tunjuk ajar guru banyak mempengaruhi kejayaan anda. Sebelum hari peperiksaan, minta restu guru. Minta guru mendoakan kejayaan anda. Guru tidak pernah mendoakan kegagalan pelajarnya. Mereka mahu melihat semua anak didiknya berjaya sepertimana yang diharapkan pelajar.
d. Tidak bercinta – elakkan bercinta semasa belajar. Orang kata, cinta masa belajar hanya cinta monyet. Cinta setakat belajar sahaja. Percintaan akan terputus selepas kedua-duanya mencari haluan masing-masing selepas habis belajar. Bercinta semasa sekolah banyak mengganggu pelajaran anda. Jika berlaku persengketaan, ianya akan mengganggu emosi dan pelajaran anda. Bercinta tidak salah. Anda boleh fikirkan untuk bercinta selepas habis belajar. Jangan jadikan cinta sebagai kegagalan anda dalam hidup.
e. Yakin pada diri sendiri – perasaan yakin akan wujud jika anda telah bersedia lebih awal. Tanamkan sifat yakin pada diri sendiri. Perasaan yakin membolehkan akan merasa seronok untuk mengambil peperiksaan. Pastikan semua kelemahan anda telah diatasi. Tumpukan perhatian anda pada peperiksaan yang bakal dihadapi. Ilmu yang telah penuh di dada menjadi bekalan untuk menduduki peperiksaan.
f. Tiada Prasangka Negatif Terhadap Orang Lain – sila pastikan anda tiada menyimpan prasangka negatif terhadap orang lain. Rakan, guru dan ibu bapa semuanya mengharapkan kejayaan anda. Tiada orang mahu melihat kegagalan anda. Hanya musuh yang ingin melihat kegagalan anda. Jika anda gagal dalam sesuatu mata pelajaran, jangan menganggap diri anda telah gagal. Prasangka buruk orang terhadap diri anda bukan bererti mereka mahu melihat anda terus gagal. Buang jauh-jauh prasangka tersebut. Kejayaan akan menjadi milik anda jika anda terus membaiki kelemahan diri sendiri. Tanamkan sifat ingin berjaya seperti orang lain.

2. Persediaan Fizikal
Anda juga perlu bersiap dari segi fizikal. Fizikal diri yang baik akan mempengaruhi peperiksaan anda. Tidak bermakna bagi anda jika sakit pada hari peperiksaan. Keadaan diri yang tidak sihat akan memberi impak besar kepada konsentrasi menghadapi peperiksaan. Anda perlu memberi keutamaan pada kesihatan diri sendiri. Antara tindakan yang perlu di ambil ialah,
a. Tidak tidur larut malam – kesihatan badan perlu dijaga. Lewat tidur menyebabkan badan menjadi letih. Keadaan ini menyebabkan anda mengantuk sepanjang hari. Walaupun anda telah bersedia dari segi mental namun badan yang lemah menyebabkan tiada konsentrasi untuk menjawab soalan.
b. Menjaga keselamatan diri – keselamatan diri juga perlu dijaga sepanjang mengambil peperiksaan. Kita sering terdengar pelajar tercedera atau kemalangan semasa peperiksaan sedang berjalan. Lebih teruk lagi terlibat dengan pergaduhan. Kecederaan diri menyebabkan anda tidak dapat menjawab soalan dengan baik. Jika anda dimasukkan ke wad, peperiksaan boleh diteruskan di wad. Keadaan kurang selesa dan sakit menyukarkan anda untuk mendapat markah yang baik dalam peperiksaan tersebut. Keadaan menjadi lebih teruk lagi jika anggota badan anda seperti tangan tidak dapat digunakan untuk menulis.
c. Makan makanan secukupnya dan berkhasiat – makanan amat mempengaruhi kesihatan anda. Pemakanan yang seimbang dan sihat memberi kesan kepada pencapaian peperiksaan anda. Jangan biarkan perut anda kosong ketika peperiksaan. Sila pastikan anda mengambil sarapan sebelum hadir peperiksaan. Perut kosong, otakpun kosong. Jadi, pastikan anda makan makanan berkhasiat sebelum menduduki peperiksaan. Otak cergas datangnya daripada makanan berkhasiat.
d. Membuat riadah ringan - sila pastikan anda membuat riadah ringan sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit setiap hari. Senaman ringan menjadikan badan anda merasa sihat dan ringan. Senaman tidak bermakna anda perlu keluar rumah. Senaman ringan boleh di buat dalam rumah. Contoh, bermain skipping dan berlari-lari anak. Lebih untung lagi jika anda mempunyai peralatan senaman seperti basikal dan sebagainya.

3. Persediaan Mental
Mental anda juga mesti dijaga. Pastikan fikiran anda dalam keadaan tenang. Fikiran yang bercelaru akan menjadikan diri anda tidak menentu. Anda akan merasa runsing dan takut untuk menghadapi peperiksaan. Antara persediaan mental yang perlu diketahui ialah,
a. Jangan cepat menyerah kalah dan berputus asa - jika anda tidak berpuas hati dengan keputusan peperiksaan, jangan berputus asa. Kegagalan bukan bermakna gagal selamanya. Kegagalan dalam sesuatu mata pelajaran bukan disebabkan anda tidak pandai. Tetapi anda kurang berusaha untuk membaikinya. Cuba cari kelemahan diri dan berusaha membaikinya. Menyerah kalah tanpa berjuang terlebih dahulu tidak memberi apa-apa erti dalam hidup anda.
b. Tiada gambaran negatif tentang sesuatu - jangan berfikir bukan-bukan tentang diri anda. Jika anda berfikiran negatif, negatiflah jadinya. Tanamkan sifat positif dalam diri. Kata-kata positif mampu mengubah diri anda daripada negatif kepada positif.
c. Mesti berfikiran positif – sentiasalah berfikiran positif. Bersusah-susahlah pada hari ini dan bersenang-senang kemudian. Masa belajar perlu belajar. Masa bermain perlu bermain. Jangan dijadikan nasihat dan teguran guru, ibu bapa dan rakan sebagai penghalang. Teguran baik mereka perlu dijadikan panduan untuk terus berjaya.
d. Tidak berasa bimbang keterlaluan

Sabtu, 19 Februari 2011

KUALITI-KUALITI PEMBACA YANG BAIK

Pembaca yang baik adalah yang:
  • Memahami hakikat keharusan atau kepentingan membaca.
  • Memastikan semua bacaan yang dibacanya, difahami dengan sepenuhnya. 
  • Boleh mengulas kembali buku yang dibaca dengan terperinci dan mampu merealisasikan apa yang difahami ke dalam kehidupan sehariannya. 

Peringatan

  • Anda mestilah membaca buku berkaitan mata pelajaran yang anda akan pelajari sebelum ianya diajar oleh guru di kelas.
  • Sewaktu membaca, garis atau catat isi-isi pentingnya.
  • Sediakan soalan-soalan jika perlu. 
sumber:
UGMC

Membaca Dengan Berkesan: Panduan Umum

Fokuskan Kepada Isu Yang Anda Baca 
Semasa membaca, tumpukan sepenuh perhatian dan fikiran anda kepada TOPIK yang anda sedang baca.

Fahami Dahulu, Baru Hafal 
Tumpukan perhatian kepada MEMAHAMI dan mendapat idea-idea atau fakta-fakta utama bacaan anda. Jangan hiraukan tahap kelajuan membaca anda. Yang penting ialah anda faham apa yang anda sedang baca. Anda akan lebih mudah mengingati fakta-fakta atau isi-isi utama / bahan-bahan yang anda baca jika anda memahami apa yang anda baca. Menghafal tanpa memahami apa yang anda baca boleh menyebabkan anda cepat bosan belajar. Jika anda faham apa yang anda baca, minat anda akan meningkat untuk membaca seterusnya. Di samping itu, anda pula akan lebih mudah membuat nota daripada bacaan anda. 

Perkataan yang Anda Tidak Mengerti 
Sekiranya terdapat perkataan-perkataan yang anda tidak tahu ertinya semasa anda membaca, anda tidak harus serta-merta membuka kamus jika perkataan itu tidak begitu penting. Memberhentikan bacaan untuk mendapat pengertiannya akan mengganggu proses pembacaan anda. Anda hendaklah tandakan dengan pensil perkataan yang anda tidak fahami itu. Apabila selesai bacaan, barulah anda cari pengertiannya. 

Perbendaharaan Kata 
Setiap perkataan baru yang terdapat dalam bahan bacaan, hendaklah anda kumpulkan ke dalam sebuah buku khas. Di samping perkataan itu, catatkan pengertiannya serta ayat yang sesuai bagi perkataan tersebut. Cuba gunakan perkataan-perkataan itu dalam karangan dan percakapan anda sehari-hari. Dengan cara ini anda akan dapat memperluaskan pengetahuan anda tentang perkataan-perkataan, baik dari segi pengertian mahupun kegunaannya. Dengan adanya perbendaharaan kata yang luas, bukan saja bacaan anda menjadi lancar, bahkan anda akan lebih mudah memahami semua yang terkandung dalam buku itu.

Gambar Rajah 
Anda hendaklah memberi perhatian kepada gambar-gambar atau rajah-rajah di dalam buku. Biasanya, gambar atau rajah mengandungi maksud yang menerangkan sesuatu dengan lebih jelas. Ini membolehkan anda memahami huraian buku tersebut dengan lebih mudah. Ingat peribahasa Cina ini: "A picture is worth a thousand words".
 
sumber :
UGMC

TEKNIK MEMBACA BERKESAN

Teknik Membaca PQRST
Sistem PQRST adalah suatu teknik membaca yang diperkenalkan olehThomas, Ellen Lamar; Robinson dan H. Alan dalam buku mereka yang bertajuk "Improving Reading In Every Class". 
Berikut adalah 5 langkah yang menjadi tunjang Teknik Membaca PQRST ini.

(a) Preview (Tinjau)
Preview. TINJAU tajuk-tajuk utama pada keseluruhan buku atau bab tertentu dengan memberi perhatian kepada tajuk-tajuk besar dan kecil padanya. Tujuan utama proses meninjau ini adalah untuk anda mendapatkan gambaran keseluruhan tentang isi-isi penting pada buku atau bab-bab dalam buku itu. Dengan mendapat gambaran segera tentang kandungan buku itu, fikiran anda akan lebih tertumpu kepada isu-isu utama yang dibincang atau diutarakan pada buku tersebut. 
(b) Question (Soal)
Question. SOAL diri anda dengan menjadikan tajuk besar dan kecil dalam bab itu sebagai soalannya. Misalnya, tajuk bagi seksyen ini ialahMeningkatkan Mutu Pembacaan. Jadi, bentuk soalan yang boleh anda buat ialah “Bagaimana saya dapat meningkatkan mutu pembacaan saya?” Dengan adanya soalan itu semasa anda membaca, tumpuan fikiran anda akan lebih fokus kepada mencari jawapan atau jawapan-jawapan tentang soalan yang tertumpu pada fikiran anda pada ketika anda membaca. 
(c) Read (Baca)
Baca satu seksyen ke satu seksyen untuk mencari jawapan soalan yang anda telah bentuk itu. Sambil MEMBACA bahan bacaan anda, tumpukan perhatian untuk mendapatkan jawapan bagi soalan yang anda telah timbulkan itu. Ini merupakan suatu pembacaan yang aktif. Oleh itu, carilah tempat di mana anda boleh membaca dengan sepenuh tumpuan. Dengan berbuat demikian, anda akan dapat meningkatkan keberkesanan dan impak proses pemahaman serta pengingatan anda terhadap idea-idea utama bahan yang dibaca.
(d) Self-Recitation (Menyebut Kendiri) 
MENYEBUT KENDIRI ialah suatu proses di mana anda mencuba ingat fakta-fakta utama bab atau bahan yang anda telah baca. Adalah lebih berkesan jika anda menyebutkan fakta-fakta kepada diri anda secara lisan. Tujuan utamanya ialah untuk mengingat semula apa yang anda telah baca iaitu dengan menggabungkan semua proses (b), (c), dan (d) secara serentak.
(e) Test (Uji)
UJI diri anda setelah anda habis membaca keseluruhan bab. Fikirkan berapa banyakkah idea-idea daripada bab yang baru anda baca itu dapat anda ingati. Pada peringkat inilah anda harus mula menyimpan apa yang telah anda pelajari ke dalam ingatan jangka panjang anda.
Dengan menggunakan Teknik Membaca PQRST, masalah terlalu banyak untuk dibaca akan dapat anda atasi. Teknik Membaca PQRST ini memudah dan mempercepatkan proses pembacaan serta pengingatan anda.

sumber:
UGMC

Jumaat, 14 Januari 2011

Tip-Tip Memastikan Azam Tercapai


1)Tetapkan azam

Tetapkan azam yang ingin anda capai. Pastikan anda lakukan dengan penuh strategi. Kenal pasti sebab-sebab anda gagal mencapainya dan ambil langkah untuk memperbaiki dan bertndak seperti apa yang dirancangkan.
Sesetengah azam anda mungkin mengambil masa lebih daripada setahun untuk digapai. Dalam hal ini, lakukan secara berperingkat-peringkat, dari tahun ke tahun. Di awal tahun, pastikan apa yang mahu anda capai disepanjang tahun tersebut. Susun strategi. Di akhir tahun, lihat kembali adakah anda berjaya atau tidak.jika tidak, bawa ke tahun hadapan dengan strategi yang lebih baik dan gandakan usaha. Yang penting jangan berputus asa.
2)Tulis dan Tampal
Tulis azam anda untuk tahun 2011 dan tampal ditempat-tempat yang strategik,. Tempat yang biasa anda berada,senang dilihat. Contoh meja ofis, bilik tidur, meja belajar dan sebagainya. Apabila kita selalu melihat apa yang ingin dicapai, minda kita akan sentiasa diingat tentang apa yang kita mahukan. Kita jadi bersemangat untuk cari jalan mencapai cita-cita.
3)Fokus
Jangan jadi hangat-hangat tahi ayam. Hanya bersemangat di awal tahun. Apabila dilanda cabaran dan masalah, jiwa mula goyah. Hilang fokus antara sebab anda gagal mencapai kejayaan. Kejayaan menuntut focus yang tinggi berserta dengan langkah yang strategik kearah matlamat tertentu.Kekal focus sepanjang tahun dan percaya yang anda akan berjaya!!

4)Dapatkan Dorongan

Allah tidak menciptakan manusia di dunia ini untuk berseorangan. Suka duka, impian dan harapan perlu dikongsi. Manusia perlukan orang lain untuk bersama-sama melayari kehidupan dan mengejar cita-cita. Manusia perlukan manusia lain untuk memberi semangat dikala down, perlukan diperngatkan dikala alpa dan perlu tempat meluahkan perasaan.
Dorongan itu boleh jadi ibu bapa, rakan-rakan dan adik beradik. Cari orang yang boleh anda percaya dan pemberi nasihat yang akan buat anda rasa tak down.Kepada yang sudah berkahwin, pasangan masing-masing dan anak-anak adalah dorongan terbaik anda.
Ingatlah:
Hidup tanpa DORONGAN ibarat belajar ditengah lautan tanpa tiupan angin dan lambungan ombak yg memudahkan pelayaran. akhirnya, terpaksa berusaha sendirian mencari HALUAN untuk sampai ke destinasi yg dituju.
Dalam mengejar kejayaan, jangan lupa Allah. Banyakkan doa dan bertawakkal. Jika anda sudah lakukan apa yang sepatutnya,berserahlah pada Allah.
Diakhirnya, andai anda tidak berjaya mencapai apa yang diinginkan, jangan kecewa, sebaliknya, ucapkan syukur kepada Allah. Kerana paling tidak, anda masih hidup dan punya peluang mencipta cita-cita untuk tahun berikutnya.
sumber:amuslimhouse.com

Ahad, 19 Disember 2010

7 Tips Untuk Cemerlang dan Menghadapi Peperiksaan




1. Semak jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.
Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.
2. Kunci peperiksaan
Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.
Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.
3. Tentukan keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.
Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.
4. Banyak mengingat dan membuat kaitan
Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.
5. Merancang persiapan peperiksaan
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.
Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.
Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.
Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.
Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.
b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.
Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel
Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.
c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.
Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.
6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan
Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.
7. Berdoa dan bertawakal
Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.
sumber:ibnismail.wordpress.com

Rabu, 15 Disember 2010

Persiapan Belajar Bermula Sekarang

 Oleh Dr. ISMAIL ZAIN

Ilustrasi Oleh Khazim
PERSIAPAN awal tahun boleh menjadikan anda pelajar yang cemerlang apabila tiba peperiksaan besar pada akhir tahun.
Persiapan seawal mungkin penting untuk memulakan proses belajar.
Tanpa persiapan yang baik, boleh menjadikan anda malas belajar.
Hal ini akan merugikan pelajar sendiri kerana sifat malas akan menjejaskan penumpuan belajar serta mudah terjerumus dalam gejala ponteng sekolah.
Oleh yang demikian marilah kita lihat bagaimana kita boleh membuat persiapan untuk belajar terutamanya di awal tahun ini.
1. Kekemasan diri. Pastikan kekemasan diri seperti kekemasan rambut, baju dan pakaian dalam keadaan yang sempurna.
Elakkan daripada berambut panjang atau berpakaian selekeh kerana ini mengurangkan semangat untuk belajar.
2. Alatan sekolah. Buku, alat tulis dan buku nota yang sesuai harus disediakan supaya anda dapat mengikuti pelajaran daripada guru tanpa gangguan.
3. Disiplin diri. Setiap pelajar perlu mempunyai disiplin diri seperti rajin datang ke sekolah, belajar dengan tekun serta menghindari segala perbuatan yang melanggari tatasusila atau peraturan sekolah.
Disiplin diri penting kerana dapat melatih diri kita supaya lebih bertanggungjawab serta mampu menumpukan perhatian ketika belajar.
4. Keazaman diri. Anda perlu mempunyai keazaman diri iaitu semangat untuk belajar. Hal ini adalah penting kerana selain daripada semangat yang diberikan oleh guru atau ibu bapa, semangat juga harus dipupuk daripada dalam diri sendiri.
Seseorang pelajar yang bersemangat mampu menempuh segala cabaran dengan penuh kesabaran. Manakala pelajar yang tidak bersemangat mudah kecewa serta cepat menyerah kalah ketika berhadapan dengan cabaran.
sumber: portal utusan